Minggu, 17 Februari 2013

minyak sawit

tok minyak sawit dijangka terus turun dipacu eksport tinggi

PEKERJA ladang mengumpulkan buah kelapa sawit sebelum dibawa ke kilang. - GAMBAR HIASAN
KUALA LUMPUR 17 Feb. - Stok minyak sawit yang susut 1.9 peratus bulan lepas dijangka meneruskan aliran menurunnya pada minggu-minggu akan datang, dirangsang oleh permintaan eksport yang tinggi, kata penyelidik pasaran komoditi Rabobank Agri.
"Kami percaya penurunan akan berterusan berdasarkan kepada unjuran harga suku pertama 2013 kami pada RM2,400 setan metrik.
"Bagaimanapun, kami tidak menjangka ia akan mengurangkan stok di bawah purata lima tahun. Kami mengekalkan jangkaan bahawa harga tahun ini kekal rendah tahun ke tahun," kata Rabobank dalam satu laporan penyelidikan.
Dalam bulan-bulan akan datang, pengeluaran minyak sawit yang perlahan, harga minyak sawit rendah dan pengurangan bekalan minyak sayuran alternatif dijangka membolehkan harga meningkat dalam suku kedua tahun ini.
Ia berkata, syarat-syarat kualiti ketat oleh China yang berkuat kuasa Januari lepas, masih belum kelihatan menjadi halangan kepada eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu yang meningkat 23 peratus tahun ke tahun kepada 268,000 tan metrik dan dijangka kekal kukuh kerana bekalan import minyak sayuran lain terhad.
Eksport minyak sawit Malaysia ke India, yang naik 57 peratus kepada 172,000 tan metrik pada Januari, juga dijangka berterusan sehingga penuaian biji sesawi mereka pada Mac.
"Eksport minyak sawit semasa tempoh 10 hari pertama Februari dilaporkan meningkat 25 peratus bulan ke bulan kepada 429,000 tan metrik dan pada masa yang sama kami menjangka pengeluaran terus menurun.
"Kami menjangka pengeluaran minyak sawit Malaysia turun pada purata dua peratus tahun ke tahun semasa tempoh enam bulan akan datang," kata Rabobank. - BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar